Tinta Presiden: Salam Ramadhan 1431 Hijrah

Assalamualaikum dan salam 1Malaysia.

Bersyukur ke hadrat Ilahi, sekali lagi kita dipertemukan dengan bulan yang teistimewa dalam Islam, bulan Ramadhan. Saya terlebih dahulu ingin mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan dan selamat berpuasa kepada semua ahli Persatuan Mahasiswa Johor Universiti Malaya dan seluruh umat Islam yang menyambutnya. Semoga kedatangan bulan ramadhan kali ini, dihiasi dengan pengisian yang bermanfaat buat kita semua.

Pada 26 hingga 29 Julai yang lepas, Pemashor telah menyertai program Minggu Promosi Badan Pelajar (PROMO) 2010 anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni Universiti Malaya. Penyertaan daripada mahasiswa/mahasiswi yang mendaftar sebagai ahli baru dan lama Pemashor adalah begitu menggalakkan. Di sebelah petang hari terakhir program, saya turut menyambut kedatangan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Prof. Madya Datuk Azarae Hj. Idris di 'booth' Pemashor. Ada seketika Datuk TNC sempat menyatakan kepada saya, pelajar kelahiran Negeri Johor adalah antara yang terbesar jumlahnya melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya untuk sesi kali ini.

Sesuatu yang amat menyedihkan buat kita semua, adalah pemergian Allayarham Zulkhairi Azmi Bin Mohd Bukhari ke rahmatullah dua minggu yang lalu. Allayarham merupakan pelajar tahun dua Pusat Asasi Universiti Malaya (PASUM) yang meninggal dunia disebabkan kemalangan yang cukup menyayat hati kita semua. Semasa malam kejadian, saya sempat mengucapkan salam takziah buat ibu bapa arwah ketika melawat jenazah di Pusat Perubatan Universiti Malaya.  Saya dan beberapa ahli Pemashor juga turut serta dalam lawatan ke kediaman arwah di Rompin bersama-sama Jawatakuasa Induk Kolej Kediaman Dr. Nazrin Shah.


Sejujurnya, saya tidak pernah mengenali arwah secara lebih dekat.  Namun, kehadirannya dalam keluarga Pemashor dua hari sebelum meninggal dunia menunjukan bahawa beliau begitu bersungguh untuk menjadi ahli persatuan ini. Yang pasti, arwahlah satu-satunya pelajar PASUM yang mendaftar ketika itu. Setiap yang berlaku itu ada hikmahnya. Semoga perkara sebegini tidak akan berlaku lagi pada masa akan datang. Apa yang boleh saya harapkan ialah, semua pihak harus bekerjasama untuk meningkatkan tahap keselamatan di dalam kampus.

Pihak Pemashor dengan rasa berbesar hati ingin memperkenalkan Blog Rasmi Pemashor ini. Sebagai memenuhi keperluan dan  peningkatan teknologi, kehadiran medium blog ini dharapkan mampu menyampaikan maklumat program dan apa sahaja berkenaan negeri Johor dan universiti, disamping mendekatkan barisan Majlis Tertinggi Pemashor sesi kali ini dengan ahli-ahli persatuan. Persatuan Mahasiswaa Johor masih mengekalkan medium Facebook kami di sini.

Akhir kata, selamat maju jaya buat Pemashor. 

Wassalam.

Ismail Noh
Presiden Pemashor
Sesi 2010/2011.