Archive for October 2010

Cara Memohon Pelekat Kenderaan UM

Seperti mana warga Universiti Malaya sedia maklum, pihak pentadbiran universiti menyatakan bahawa pendaftaran pelekat kenderaan pelajar secara online untuk sesi 2010/2011 telah dibuka mulai 25 Oktober 2010 lalu. Pelekat kenderaan tersebut adalah wajib bagi setiap kenderaan yang dibawa masuk dan digunakan oleh pelajar semasa dalam kawasan universiti.

Pelajar yang ingin mendaftarkan kenderaan dan memohon pelekat, dikehendaki mengisi borang secara online melalui pelekat.um.edu.my. Panduan mengisi borang online boleh dirujuk di sini. Berikut adalah dokumen yang perlu di bawa ke Pejabat Keselamatan untuk melengkapkan proses pendaftaran:

  • 1. Borang pendaftaran online yang telah dicetak
  • 2. Kad pelajar
  • 3. Cukai jalan kenderaan yang masih sah
  • 4. Salinan polisi insurans kenderaan yang masih sah
  • 5. Salinan lesen memandu yang masih sah
  • 6. Bayaran pendaftaran sebanyak RM2

Pejabat Keselamatan Universiti Malaya berada di Kolej Kediaman Dr. Nazrin (Kolej Kediaman Ke-12).

Semasa: Pengisytiharan Tunku Mahkota Johor Sebagai Pro-Canselor UTHM

BATU PAHAT: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar hari ini mengisytiharkan anakanda baginda, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Pro-Canselor Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) sempena konvokesyen ke-10 universiti itu, hari ini.

Sultan Ibrahim yang juga Canselor UTHM turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Teknologi) kepada mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Pada majlis yang sama, baginda turut menyampaikan watikah anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pendidikan Teknikal) kepada Mantan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik, Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Imran Idris.

Hadir sama di majlis itu adalah isteri baginda, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Naib Canselor UTHM Profesor Datuk Dr Mohd Noh Dalimin.

Dalam titahnya pada majlis itu, Sultan Johor antara lain menggesa mahasiswa menajamkan minda dan intelek melalui konsep pendidikan yang berkesan.

Baginda bertitah, mahasiswa juga perlu memperteguh jati diri dan kemahiran insaniah melalui aktiviti kokurikulum yang dinamik dan menarik.

"Usaha untuk meningkatkan dan memperteguhkan jati diri serta kemahiran insaniah mahasiswa perlu menjadi agenda penting universiti.

"Kursus-kursus dan aktiviti kokurikulum harus dirangka dan dilaksanakan secara lebih berkesan serta dikendalikan oleh tenaga-tenaga pakar yang bertauliah," titah baginda.

Sultan Ibrahim juga mahu universiti bersedia meneroka bidang-bidang baru yang lebih dinamik dan berkesan sebagai pengembangan program kokurikulum sedia ada.

Baginda bertitah, ini kerana generasi muda di kampus adalah golongan yang dahagakan perubahan dan cabaran. Sumber - Bernama

Pemashor: Tahniah buat rakan-rakan mahasiswa di Universiti Tun Hussein Onn.