Laporan: Program Motivasi Bersama Mahasiswa UM

Program Motivasi Bersama Mahasiswa UM adalah sebuah program motivasi bersama mahasiswa Universiti Malaya anjuran Persatuan Mahasiswa Johor (PEMASHOR) Universiti Malaya, dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar & ALUMNI Universiti Malaya serta Persatuan Kerjaya S.M.K Seri Medan, Batu Pahat. Program ini berlangsung selama 2 hari iaitu pada 30 hingga 31 Mei 2009 yang lalu.

Seramai 11 orang fasilitator yang terdiri daripada mahasiswa Universiti Malaya berlainan fakulti sama-sama membantu dalam menjayakan program ini. Tujuan Program ini adalah untuk:
  • Memberi pendedahan dan pengetahuan kepada para peserta mengenai gaya hidup belajar di universiti,
  • Berkongsi pengalaman antara mahasiswa dengan para peserta mengenai suasana dan persekitaran di kampus,
  • Memupuk semangat cinta dan semangat belajar dalam kalangan peserta yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia,
  • Memberi pengisian bermanfaat kepada para peserta dari segi mental dan fizikal sebelum membuat persediaan menghadapi peperiksaan,
  • Menguatkan sifat saling hormat-menghormati dalam diri para pelajar kepada insan yang lebih tua daripada mereka,
  • Dan membantu memotivasikan diri dari segi emosi, disiplin, tingkah laku serta sikap agar menjadi pelajar yang mempunyai arah tuju yang tepat seiring dengan tujuan mereka menuntut ilmu.
Berikut adalah turutan jadual program tersebut:


Hari pertama : Sabtu (30 Mei 2009)

0830 pagi - Ketibaan peserta program ke Universiti Malaya
0900 pagi - Pendaftaran & penginapan peserta
0930 pagi - Taklimat & pengenalan
Fasi Hazlan selaku ketua fasilitator memberi ucapan alu-aluan kepada para peserta yang tiba. Sesi suai kenal dan ucapan selamat datang daripada barisan fasilitator juga turut diadakan.
1030 pagi - Minum pagi
1100 pagi - Latihan Dalam Kumpulan: Pembinaan Kumpulan
Fasilitator membantu para peserta berkenal-kenalan, membentuk kumpulan, melantik ketua, mencipta logo dan motto serta bermain permainan “Dari Nama Turun Ke Hati”. Kemudian setiap peserta yang telah dibahagikan kepada 5 kumpulan dikehendaki membentangkan organisasi mereka di atas Pentas Gazebo Kolej Kediaman Tun Ahmad Zaidi. Peserta-peserta lain dibenarkan memberi pertanyaan dan soalan kepada setiap kumpulan yang membuat perbentangan. Tujuan aktiviti ini adalah untuk memberi keyakinan kepada setiap peserta tika berucap di hadapan khalayak serta bijak memberi hujahan dan berdebat berdasarkan keputusan kumpulan mereka yang baru dibentuk.
0100 petang - Rehat & Makan Tengahari
0230 petang - Persiapan Riadah
0300 petang - Lawatan ke Perpustakaan Utama UM
Para peserta Program Motivasi Bersama Mahasiswa dibawa melawat ke Perpustakaan Utama Universiti Malaya. Pegawai penerangan di situ memberi beberapa taklimat dan keterangan mengenai sistem pengurusan, organisasi dan konsep perpustakaan gaya universiti kepada para pelajar. Selain itu, peserta juga dibawa melawat ke muzium perpustakaan yang berada di tingkat empat perpustakaan universiti terbesar itu.
0400 petang - Walking Trip @ UM
Selepas mengunjungi Perpustakaan Utama Universiti Malaya, para peserta Program Motivasi Bersama Mahasiswa dibawa berjalan-jalan ke Kompleks Perdanasiswa, Pentas Gazebo, dan sekitar Dewan Tunku Canselor. Peserta juga dibawa mengelilingi Tasek Varsiti. Fasi Faizal bertindak memberi penerangan di setiap tempat yang dikunjungi selain mengadakan kuiz kepada para peserta.
0600 petang - Rehat & Makan Malam
0830 malam - Latihan Dalam Kumpulan: Uda & Dara
Setiap kumpulan diberi sebuah peristiwa dimana mereka dikehendaki mencari watak siapakah yang bersalah dalam peristiwa tersebut. Setelah mengenalpasti watak, mereka dikehendaki berhujah dan berdebat dengan kumpulan lain bahawa keputusan mereka adalah tepat. Aktiviti ini berjaya melatih para peserta memahami soalan dan menghuraikan keadaan berdasarkan fahaman dan persetujuan masing-masing. Mereka juga berjaya mempraktikkan apa yang mereka belajar di sekolah. “Macam Cikgu Siti Jo kata..” adalah perkataan yang paling popular pada malam itu.
1000 malam - Latihan Dalam Kumpulan: Kembara Malam
Aktiviti Kembara Malam adalah aktiviti lasak yang dilakukan pada waktu malam program. Aktiviti ini dibahagikan kepada 7 tempat di sekitar Kolej Kediaman Tun Ahmad Zaidi antaranya Laman Perindu, Cafe Slow Rock, Lobi KKTAZ, Laman Pengetua dan pintu utama. Antara permainan yang dijalankan seperti regu, cari gula-gula dalam tepung, mengira tangga, kongsi telur, barang dalam kotak, sepak kejam, baling menara kasut dan lain-lain. Aktiviti sebegini melatih para peserta mengawal emosi, dan bagaimana mengurus emosi tersebut apabila gembira, sedih dan marah. Sifat kerjasama berkumpulan dan bersabar juga dapat dipupuk apabila setiap kumpulan diamanahkan menjaga api lilin daripada terpadam sepanjang kembara malam itu.
1200 malam - Rumusan hari pertama
Barisan fasilitator memberi ulasan dan pandangan mengenai program-program pada hari pertama. Setiap peserta juga diberi peluang untuk memberi pandangan masing-masing selain berkongsi pendapat mengenai keseluruhan aktiviti.

Hari Kedua : Ahad (31 Mei 2009)

0800 pagi - Sarapan Pagi
0900 pagi - Latihan Dalam Kumpulan: Syarikat Kapal Terbang
Setiap kumpulan dikehendaki membentuk sebuah syarikat kapal terbang dengan mencipta nama, organisasi, logo, prototaip serta penyata kira-kira syarikat meraka sendiri. Mereka harus membina seberapa banyak kapal terbang kertas untuk dipandu uji di hadapan fasilitator yang bertindak sebagai majikan yang bakal membeli kapal terbang mereka. Aktiviti ini banyak mempraktikkan apa yang mereka belajar di sekolah kerana ia berkonsepkan perniagaan dan ekonomi.
1130 pagi – Bersama ALUMNI Universiti Malaya: Mohd Hafiz Bin Kamsani
Slot Bersama ALUMNI Universiti Malaya: Saudara Mohd Hafiz Kamsani merupakan slot motivasi. Saudara Hafiz yang juga bekas pelajar S.M.K Seri Medan sudi berkongsi pengalaman menjadi pelajar Universiti Malaya dan memberi penerangan serba sedikit mengenai Majlis Perwakilan Pelajar dan pengurusan hidup di universiti. Beliau juga memberi nasihat dan pandangan serta tips kepada peserta untuk berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti.
1230 tengahari - Makan Tengahari
0100 petang - Majlis Penutupan Program Motivasi Bersama Mahasiswa
0130 petang - Sesi Bergambar
0200 petang - Bersurai







Info-Mashor: Mypemashor Dibuka

Persatuan Mahasiswa Johor (PEMASHOR) Universiti Malaya telah memperkenalkan Mypemashor, sebuah rangkaian komuniti menggunakan laman web sosial Ning. Mypemashor merupakan laman sosial mahasiswa khusus untuk mahasiswa/I negeri Johor yang sedang belajar di Universiti Malaya terutamanya ahli-ahli Persatuan Mahasiswa Johor (PEMASHOR) UM.

Mypemashor sebagai medium internet ke-2 (selain blog) bagi menyampaikan sebarang maklumat program yang akan dilaksanakan sepanjang sesi. Selain itu, ahli PEMASHOR juga boleh berinteksi (bersembang dan berforum) serta berkongsi gambar/video dengan ahli-ahli yang lain dengan membina profil sendiri. Mypemashor boleh dilayari di www.mypemashor.ning.com.



Kemaskini: mypemashor telah ditutup dan digantikan dengan aplikasi laman web sosial Facebook yang lebih mudah.


Program: Kebudayaan Negeri Johor 2009

Program Kebudayaan Negeri Johor 2009 anjuran Yayasan Warisan Johor dijangka berlangsung pada 13 hingga 15 November 2009 di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor. Antara pengisian program selama 3 hari itu ialah seminar kebudayaan, tarian zapin, senaman J-Robik, program lawatan ke Iskandar Malaysia (dahulu dikenali sebagai Wilayah Pembangunan Iskandar) serta lain-lain aktiviti yang bakal disertai lebih 1000 orang pelajar Negeri Johor dari institusi pengajian tinggi seluruh negara.

Bagaimana ingin menyertai?

Majlis Tertinggi Pemashor 2009/2010 mempelawa 55 orang ahli Pemashor untuk menyertai program ini. Pengangkutan disediakan (dari Universiti Malaya sahaja) dan segala makanan dan penginapan adalah PERCUMA. Kepada ahli-ahli Pemashor yang berminat, sila hantarkan maklumat lengkap seperti:
  • Nama;
  • Nombor kad pengenalan;
  • Nombor matriks;
  • Alamat kolej dan rumah;
  • Nombor telefon untuk dihubungi;
  • Tarikh, tempat, dan masa jangkaan sampai (bagi pelajar yang terus ke Skudai),
ke alamat e-mail: pemashor@yahoo.com.my sebelum 5 November 2009. Sebarang perubahan maklumat program akan diberitahu dari masa ke semasa. Kerjasama amatlah diharapkan.

“Mahasiswa Johor Gagah Gemilang”.


Program: Motivasi Bersama Mahasiswa UM

Persatuan Mahasiswa Johor (PEMASHOR) Universiti Malaya akan mengadakan Program Motivasi Bersama Mahasiswa Universiti Malaya bersama pelajar-pelajar Tingkatan 6 SMK Seri Medan, Batu Pahat. Program selama 2 hari 1 malam ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kehidupan di kampus universiti. Butiran aktiviti adalah seperti berikut:
  • Tarikh: 30 - 31 Mei 2009
  • Tempat: Kolej Kediaman Tun Ahmad Zaidi
  • Bil. peserta: 4o orang pelajar  bersama 4 guru pengiring.
  • Bil. Fasilitator dan urusetia: 15 orang diperlukan.
Kepada sesiapa yang berminat untuk menjadi fasilitator, sila e-mailkan butiran peribadi seperti nama, alamat, no.matriks dan no. telefon untuk dihubungi kepada: pemashor@yahoo.com.my sebelum 20 Mei 2009.

Sebarang pertanyaan, boleh hubungi pihak Pemashor:  -. untuk maklumat lanjut



Selamat Datang

Bahagian Maklumat & Pengisian Blog Persatuan Mahasiswa Johor (PEMASHOR) Universiti Malaya sesi 2008/2009 mengucapkan selamat datang dan jutaan terima kasih kepada pengunjung blog ini. Tujuan blog ini diwujudkan bagi mendekatkan persatuan dengan ahli persatuan mahasiswa johor yang ada, baik dalam universiti mahupun dari institut pengajian tinggi tempatan yang lain.